‘Anak mak’ jatuh air mata saat jejak Universiti Oxford, dulu mohon tak dapat - “Saya dahulukan kebajikan mak ayah”

 

Khairi dijemput membentangkan kajiannya di Universiti Oxford, baru-baru ini. 

Impian jadi realiti. 

Begitulah kisahnya Khairi Azhar Aziz, penuntut Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berjaya menjejakkan kaki ke Universiti Oxford, London baru-baru ini. 

Bercerita kepada Mstar, Khairi berkata dia dijemput ke sana bagi membentangkan kertas kajiannya bersama penyelidik lain dari seluruh dunia.

Khairi teruja menjejakkan kaki ke Universiti Oxford

"Saya kini mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (Phd) Sistem Maklumat. Fakulti hantar kertas kajian saya ke Universiti Oxford, mungkin rezeki saya dipilih sebab topik saya agak menarik untuk dikongsi dengan penyelidik dan para peserta di sana. 

"Saya dapat tahu tentang hal ini pada 16 Januari. Beberapa hari kemudian dapat surat dari Oxford. Pada masa itu, saya terus menangis seorang diri. Sebabnya saya sudah lama menyimpan impian untuk ke sana. Pernah memohon untuk masuk dulu tapi tak dapat. "

"Saya pergi sana 10 hari dan kembali kek Malaysia pada 21 Mac. Tak jangka saya dapat ke sana untuk bentangkan kajian. Mak saya pun menangis masa dapat tahu saya terpilih untuk ke sana," ujarnya. 

Bercerita mengenai kunjungannya, Khairi berkata sekali lagi dia mengalirkan air mata saat pertama kali menjejakkan kaki ke kampus universiti itu, sekali gus menandakan impian zaman remajanya telah menjadi kenyataan. 

"Memang betul Allah dengar doa saya. Masa saya masuk dalam Oxford tu, rasa mengalir air mata ketika pertama kali jejak kaki. Yang kedua, saya dapat bertemu dengan ramai orang hebat di sana. Ketika persidangan itu, ada profesor, ahli akademik, orang industri dan ramai lagi. 

"Sejujurnya memang rasa diri ini kerdil dan gementar. Tapi bila sampai giliran saya untuk membentangkan kajian, syaa jadi berani dan terus hilang rasa gugup. Dalam setengah jam juga saya buat pembentangan kajian, disusuli dengan sesi soal jawab, " kata anak bongsu daripada empat beradik itu. 

Menurut anak jati Langkawi, Kedah itu dia turut melihat pencapaian berkenaan sebagai hasil doa tidak putus-putus daripada kedua ibu bapanya yang kini berusia 70-an. 

Tambah Khairi yang meraih keputusan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 4.0 pada setiap semester, dia sentiasa mendahulukan orang tua kerana menganggap keredaan mereka sebagai kunci utama untuk berjaya.

"Sebagai orang Islam, kita kena sentiasa berdoa, selalu berusaha dan tidak berputus asa. Saya sentiasa berazam, apa saja yang saya buat, saya mesti dapat dengan usaha sendiri. 

Keberkatan kedua ibu bapa menjadi kunci kejayaan Khairi

"Tapi paling utama, kena jaga kebajikan ibu ayah. Dahulukan mereka. Sebarang berita gembirayang saya dapat, ibu akan jadi orang pertama yang tahu. Saya percaya bahawa reda Allah itu datang dari melalui reda mak ayah kita,"ujarnya yang turut bekerja di ibu negara sambil mengikuti pengajian di UPM.

Dalam pada itu, video perjalanan Khairi ke Universiti Oxford, yang dikongsi menerusi aplikasi Tiktok turut meraih perhatian ramai sehingga dia dihujani dengan komen positif netizen. 

Kata Khairi, dia tidak menyangka akan menerima reaksi sedemikian, namun berharap video yang dikongsi dapat memberi inspirasi kepada masyarakat agar tidak pernah berhenti berusaha mengejar impian masing-masing. 

"Sebenarnya saya memang terkejut. Niat saya kongsi video sebab nak kongsi video ilmu dengan semua orang. Dalam pada masa yang sama saya ingin memberi inspirasi. "

"Contoh terdekat, ada beberapa rakan sekerja saya sekarang dah sambung master sebab mereka seronok tengok saya belajar sambil bekerja," ujarnya lagi.



Comments

Popular posts from this blog

Musim panas rezeki berganda buat kaki pancing

Tak ramai wanita Melayu, jadi pengajar selam skuba