Tak ramai wanita Melayu, jadi pengajar selam skuba

 

Nur Sabrina menjadi pengajar selam skuba pada 2017 ketika berusia 19 tahun selepas memperoleh lesen menyelam peringkat Divemaster.


KUALA LUMPUR: Untuk bergelar pengajar selam skuba bukanlah sesuatu yang mudah kerana seseorang itu perlu mengharungi pelbagai latihan dan ujian mencabar.

Namun, bagi si kecil molek berketinggian 157 sentimeter Nur Sabrina Mohmad Fuad, 25, ia bukan halangan untuknya menceburi profesion itu yang didominasi kaum Adam dan warga asing.

Berkongsi pengalamannya, gadis berhijab berasal dari Perak itu, berkata beliau mula menjadi pengajar selam skuba pada 2017 ketika berusia 19 tahun iaitu selepas memperoleh lesen menyelam peringkat Divemaster.

"Perjalanan ini tidak dirancang, ia bermula ketika saya menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ibu bapa saya tawarkan kepada saya untuk tinggal di Pulau Perhentian bagi mengikuti latihan selam skuba peringkat Divemaster," katanya yang kini mengajar di sebuah operator menyelam di Pulau Perhentian.

Nur Sabrina bersama keluarganya

Katanya, selepas setahun menimba pengalaman sebagai Divemaster, beliau meneruskan latihan ke peringkat pengajar dengan mengambil kursus pembangunan pengajar (IDC) dan peperiksaan pengajar (IE) sebelum layak bergelar pengajar selam skuba yang diiktiraf Persatuan Jurulatih Selaman Profesional (PADI).

Ditanya mengenai pemilihan kerjaya itu yang jarang diceburi golongan hawa, Nur Sabrina berkata beliau meminati bidang itu kerana mendapat inspirasi melihat kebanyakan pengajar selam skuba yang ada di pulau di Malaysia adalah warga asing.

"Pengajar selam skuba ramai orang luar (warga asing), mereka golongan profesional seperti pekerja bank dan jurutera, tapi sanggup berhenti semata-mata untuk tinggal dan kerja di pulau.

"Jadi saya rasa ini peluang saya untuk membuka mata orang ramai terutama wanita Melayu dan berhijab kita mampu memikul kerjaya ini, sekali gus menggalakkan lebih ramai untuk menceburinya," katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu, berkata melatih pelajar selam skuba sehingga mereka berjaya mendapatkan lesen adalah satu kepuasan dan kegembiraan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

"Ada pelajar asalnya fobia, panik dengan kedalaman air dan ada juga yang hampir putus asa, tapi apabila saya berjaya pujuk dan mengatasi ketakutan mereka itu sehingga menamatkan kursus, saya rasa puas dan gembira," katanya.

Ibunya, Noorazizah Yusof berkata, selain Nur Sabrina, beliau dan suami serta dua anaknya yang lain turut mempunyai lesen selam skuba serta aktif menyelam di beberapa pulau seperti Pulau Perhentian, Sipadan, Phuket, Gili Asahan dan Maldives.

"Dulunya apabila setiap kali tiba cuti persekolahan, kami akan bawa anak-anak bercuti ke pulau dan secara tidak langsung pada 2013, kami ambil lesen permulaan selam skuba di Pulau Perhentian selepas tertarik dan timbul minat ingin mencuba aktiviti itu.

"Tidak disangka, dengan hanya suka-suka, kini ia menjadi hobi kami sekeluarga dan akan melakukan selaman bersama setiap kali bercuti di pulau sehingga ke hari ini," katanya.

Suri rumah itu berkata, beliau bangga dengan pencapaian Nur Sabrina yang menjadikan jurulatih selam skuba sebagai kerjayanya.

"Kami akan sentiasa menyokong apa yang Nur Sabrina buat kerana itu minatnya… walaupun masih berhijab dan perlu menjaga batas sebagai seorang Muslimah, tapi masih mampu melakukan tugas yang mencabar," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Musim panas rezeki berganda buat kaki pancing

‘Anak mak’ jatuh air mata saat jejak Universiti Oxford, dulu mohon tak dapat - “Saya dahulukan kebajikan mak ayah”