Ramadan bermakna buat penoreh getah terlepas hukuman gantung

 TEMERLOH - "Ramadan tahun ini sangat bermakna kerana akhirnya saya dapat bersama keluarga selepas lebih tiga tahun di penjara," kata seorang penoreh getah, Marzuki Yusof, 57, yang terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Temerloh pada Rabu melepaskan dan membebaskannya atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 271.2 gram pada 2019.

Hakim Roslan Mat Nor turut membebaskan Marzuki daripada dua pertuduhan iaitu memiliki dadah jenis monoecetylmorphines dan heroin.

Marzuki(dua dari kanan) yang dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi 
Temerloh pada Rabu daripada pertuduhan mengedar dadah pada 2019.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu meraup muka tanda kesyukuran di kamar mahkamah selepas Roslan mengumumkan keputusan itu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Marzuki kelihatan gembira bersama ahli keluarganya yang hadir memberikan sokongan.

                         "Syukur kerana penantian selama ini membawa                                          kepada pembebasan saya dan menganggap ini                                          sebagai pengajaran berguna"

"Paling utama, perancangan saya selepas ini untuk bersama keluarga yang banyak memberikan sokongan selama ini," katanya yang diwakili peguam, Datuk Bob S Arumugam.

Dalam pada itu, kakak Marzuki, Hamidah, 59, menyifatkan keputusan tersebut amat dinanti-nantikan keluarga mereka selama ini.

Marzuki(kiri) bersama S.Arumugam (kanan) di luar kamar mahkamah

"Setiap hari, saya berdoa supaya adik dibebaskan dan Ramadan tahun ini, segala penantian akhirnya terjawab," tambahnya.

Sebelum itu, mahkamah membuat keputusan itu terhadap Marzuki selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa pada 12 Jun 2019, kira-kira jam 11 pagi di pondok dalam kebun getah di Kampung Mela, Lipis mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 271.2 gram.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 306(1)(a) Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 398(2) akta sama yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dua lagi pertuduhan, dia didakwa pada tarikh dan lokasi sama memiliki dadah jenis monoecetylmorphines seberat 0.18 gram dan heroin seberat 0.10 gram.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kedua-dua pertuduhan jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bermula 28 September 2021 dengan enam saksi pendakwaan ditampilkan bagi kes tersebut.

Comments

Popular posts from this blog

Musim panas rezeki berganda buat kaki pancing

‘Anak mak’ jatuh air mata saat jejak Universiti Oxford, dulu mohon tak dapat - “Saya dahulukan kebajikan mak ayah”

Tak ramai wanita Melayu, jadi pengajar selam skuba