Umar Hafiy teruja masuk sekolah biasa


Umar Hafiy Amir Nor Hafizi, 7, (Kanan) yang berkerusi roda sentiasa bersemangat mengikuti aktiviti pada Hari Orientasi Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil, Nibong Tebal. 
    
     NIBONG TEBAL: Lahir dengan kecacatan kaki dan pinggul tidak menghalang Umar                 Hafiy Harith Amir Nor Hafizi, 7, menghadiri sesi orientasi murid Tahun Satu bersama                 kanak-kanak normal sebayanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kechil di sini, hari ini.

Kanak-kanak berperwatakan ceria itu menghidap sacral agenesis iaitu gangguan kongenital yang jarang berlaku membabitkan anggaran satu hingga 2.5 peratus bagi 100,000 bayi dilahirkan dalam keadaan sedemikian.

Umar Hafiy yang lazimnya menggunakan papan selaju untuk bergerak dilihat menaiki kerusi roda untuk ke sekolah dibantu ibu bapanya, Nurul Fathiah Noordin, 33, dan Amir Nor Hafizi Nordin, 28, serta ditemani adiknya Umar Ayyash, berusia lima tahun.

"Saya seronok dapat pergi sekolah dan jumpa ramai kawan baharu. Memang nak mai (datang) lama dah. Saya nak kongsi makanan dengan depa (mereka)," katanya ketika ditemui di sini. 

Seramai 86 murid Tahun Satu termasuk Umar Hafiy mendaftar di SK Sungai Kechil bermula jam 8 pagi dan tamat menjelang tengah hari dengan mereka dibawa melawat persekitaran sekolah seperti kantin dan aktiviti dalam kelas.

Sebelum itu, dia teruja memberitahu ibunya yang dia mendapat 'enam bintang' sebaik kerusi rodanya ditolak keluar kelas selepas sesi persekolahan.

"Adik dapat enam bintang sebab adik istimewa," kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Nurul Fathiah berkata, sejak awal lagi dia berhasrat menghantar anaknya ke sekolah biasa berbanding sekolah berkeperluan khas (SBK).

Katanya, walaupun lahir dengan kekurangan fizikal, Umar Hafiy terang hati dan pernah memenangi anugerah celik membaca dan pertandingan bercerita ketika di TADIKA.

Katanya, doktor juga menjangkakan Umar Hafiy tidak dapat duduk dan perlukan bantuan khas tetapi ditakdirkan anaknya membesar dengan baik dan aktif walaupun hanya menggunakan kekuatan tangan untuk bergerak.

"Dia mampu buat apa yang dilakukan kanak-kanak seusianya. Dia boleh membaca dan menulis selain mudah menghafal termasuk doa dan surah tertentu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Kechil, Hashim Chik, berkata beliau dimaklumkan guru besar, Norhayati Mohamad yang keperluan kanak-kanak itu akan diurus dengan baik.

"Pihak sekolah akan memastikan Umar Hafiy dapat menikmati apa yang dinikmati pelajar lain.

"Pihak sekolah juga telah meluluskan pembinaan tanjakan dari kantin ke bilik darjah Umar Hafiy bagi memastikan dia boleh menggerakkan kerusi roda dengan mudah," katanya.


            Umar Hafiy Amir Nor Hafizi, 7, yang berkerusi roda ditemani ibu Nurul Fathiah Noordin, 33 (kiri) dan                         bapanya, Amir Nor Hafizi Nordin, 28, (dua dari kiri) berbual dengan Yang Dipertua PIBG Sekolah                                 Kebangsaan Sungai Kechil (SKSK), Hashim Chik (dua dari kanan) dan Guru Besar SKSK, Norhayati                             Mohamad (kanan) pada Hari Orientasi Tahun Satu di SKSK, Nibong Tebal. 

Comments

Popular posts from this blog

Musim panas rezeki berganda buat kaki pancing

‘Anak mak’ jatuh air mata saat jejak Universiti Oxford, dulu mohon tak dapat - “Saya dahulukan kebajikan mak ayah”

Tak ramai wanita Melayu, jadi pengajar selam skuba