Tukang jahit kerdil kalis sindiran, terima tempah untuk Syawal



BUTTERWORTH: Dilahirkan sebagai insan kerdil dan pernah disindir tidak mampu pergi jauh bukan penghalang menceburi bidang perniagaan, sebaliknya menggunakan kelebihan itu untuk berjaya dalam kehidupan.

Nurul Izzah Mohd Asri, 25, dengan ketinggian tubuh 117 sentimeter tetap bersyukur kekurangan dari segi fizikal, mempunyai kelebihan mempamerkan kemahirannya menjadi tukang jahit

Walaupun asalnya meminati bidang masakan, tetapi percubaannya secara 'suka-suka' mempelajari asas jahitan, membawa dirinya menceburi bidang fesyen.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, segala-galanya bermula apabila dia bosan tidak berbuat apa-apa ketika menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pada 2015.

"Selepas selesai menduduki SPM, saya hanya duduk di rumah tanpa melakukan sebarang kerja. Kemudian ibu mengesyorkan mengikuti kursus menjahit kerana bidang masakan tidak begitu sesuai dengan keadaan dapur terlalu tinggi dan berbahaya untuk saya memasak.

"Jadi, saya mengikut kursus jahitan jangka pendek selama enam bulan bersama seorang sepupu di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

"Mulanya tidak pandai langsung memasukkan benang ke dalam mesin, apatah lagi mengukur serta memotong kain hingga terasa hendak menangis, namun atas tunjuk ajar diberikan saya mampu menguasai ilmu asas jahitan, " katanya ketika ditemui di rumahnya di Merbau Kudung, Sungai Dua, di sini.

Pernah ditawarkan kursus perniagaan di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT), tetapi berhenti separuh jalan kerana tidak kena pada jiwanya, sebelum mengambil keputusan mengikut kursus jahitan.

"Selain itu dia juga mengikuti menyertai kursus jurusan seni reka fesyen selama dua tahun di sebuah institusi kemahiran," katanya yang kini sudah membuka premis menjahit di kediaman keluarganya, pertengahan tahun lalu.

Mengenai cabarannya, kongsinya, disebabkan fizikalnya yang kerdil, Nurul Izzah akan mengambil ukuran baju dengan naik di atas kerusi mendapatkan ukuran pakaian pelanggan.

"Pelanggan tahu kekurangan diri saya dan mereka tidak pernah memperlekehkan saya bahkan terus mempromosikan baju yang dijahit kepada rakan mereka yang lain.

Nurul Izzah Mohd Asri,25 menunjukkan koleksi sulaman dihasilkannya serta Anugerah Khas Juri yang diperolehnya dalam Pertandingan Pertunjukan Fesyen ketika belajar di sebuah institusi kemahiran.


"Memang agak mencabar saya bertubuh kecil, tetapi menjahit pakaian orang dewasa, tetapi itu bukan apa-apa sangat jika saya percaya bahawa diri saya boleh melakukannya.

"Hasilnya, memang saya boleh buat dan kini mendapat kepercayaan pelanggan yang mereka sukakan rekaan saya," katanya yang mampu menjahit semua jenis fesyen pakaian yang diminta pelanggan.

Rezeki berlipat kali ganda

Malah, ketibaan Ramadan dan Syawal memberikannya rezeki berlipat ganda apabila menerima banyak tempahan daripada pelanggan untuk digayakan pada Aidilfitri nanti.

"Saya akui tidak menang tangan menerima tempahan menjahit pakaian antaranya baju kurung, kebaya, jubah dan baju Melayu.

"Saya juga sudah menutup tempahan kerana takut tidak mampu menyiapkan baju raya pelanggan, tambahan pula saya hanya menjahit seorang diri berikutan tiada pekerja.

"Saya bercadang untuk mengambil pekerja bag membantunya menjahit pada masa depan dan menyewa premis lebih besar untuk menampung tempahan semakin memberangsangkan, " katanya yang mampu menjahit antara empat ke lima pakaian seminggu.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata, ramai yang menyokong usahanya menjadi tukang jahit termasuk mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dari segi peralatan mesin.

"Inilah faedah yang saya dapat walaupun dalam kategori Orang Kelainan Upaya (OKU). Saya tidak pernah terasa diri dipinggirkan kerana ada sahaja yang bersedia menghulurkan tangan untuk menolong saya.

"Memang tidak rugi keputusan saya menceburi walaupun ada juga yang menyindir saya tidak dapat pergi jauh dalam bidang ini. Namun, dengan kemahiran ini saya mampu menjana pendapatan.

Jadi, anak muda lain yang meminati bidang kemahiran tertentu teruskan sahaja impian itu.

"Bagi mereka yang dilahirkan istimewa seperti saya jangan difikirkan mengenai kekurangan diri, tetapi carilah apa kelebihan yang kita ada," katanya tidak gentar bidang ini banyak persaingan kerana percaya rezeki individu sudah ditetapkan.

      Nurul Izzah tidak kisah disindir kerana fizikal, sebaliknya mampu bukti kejayaan jadi tukang jahit


Comments

Popular posts from this blog

Musim panas rezeki berganda buat kaki pancing

‘Anak mak’ jatuh air mata saat jejak Universiti Oxford, dulu mohon tak dapat - “Saya dahulukan kebajikan mak ayah”

Tak ramai wanita Melayu, jadi pengajar selam skuba