Meninggal dunia pada Ramadan masih wajib bayar zakat fitrah, tapi siapa yang perlu bertanggungjawab?

ZAKAT fitrah wajib dibayar oleh setiap Muslim mengikut syarat tertentu bermula Ramadan sehingga sebelum terbenamnya matahari pada 1 Syawal.

UNTUK pengetahuan, hukum membayar zakat fitrah adalah wajib ke atas Muslim dengan syarat tertentu dan tempohnya pembayarannya bermula pada bulan Ramadan sehinggalah sebelum terbenam matahari satu Syawal.

Malah, setiap kali menjelangnya bulan Ramadan, pasti kelihatan kaunter-kaunter pembayaran zakat tersebut dibuka di beberapa tempat termasuk di masjid dan tapak bazaar Ramadan.

Namun, bagaimana pula dengan hukum zakat fitrah ke atas orang yang telah meninggal dunia ketika bulan Ramadan, adakah ia masih wajib untuk dilaksanakan atau tidak?

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sama ada zakat fitrah perlu dibayar atau tidak bagi pihak si mati adalah bergantung kepada dua situasi ini.

Pertama, jika seseorang itu meninggal dunia setelah terbenamnya matahari pada akhir Ramadan, maka hukum wajib zakat fitrah pada si mati tidak gugur dan perlu dibayar bahkan pelaksanaannya wajib diuruskan oleh warisnya yang masih hidup.

Perkara itu termaktub dalam nas syarak melalui hadis diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA yang berkata,

Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam dengan satu gantang tamar, satu gantang tepung barli sama ada orang yang merdeka atau hamba sahaya, lelaki atau perempuan dalam kalangan umat Islam.” (Hadis Riwayat Muslim)


Ulama Islam terkemuka, Imam an-Nawawi pula menjelaskan bahawa wajib seseorang mengeluarkan zakat setelah terbenamnya matahari dan masuknya sebahagian malam Aidilfitri.

Dalam erti kata lain, jika seseorang itu hidup sepanjang bulan Ramadan dan sempat melalui malam satu Syawal sebelum meninggal dunia, maka waris perlu membayar zakat fitrah ke atas pihaknya.

Bagi menguatkan lagi penerangan berkenaan situasi ini, dikongsikan kenyataan daripada cendekiawan As-Syafie, al-Qadhi Abu Syuja’:

“Zakat fitrah wajib dikeluarkan ke atas sesiapa yang mati selepas terbenamnya matahari, namun tidak wajib ke atas yang lahir selepas itu” (Rujuk Fath al-Qarib al-Mujib: 131)

Kedua adalah situasi di mana jika umat Islam itu meninggal sebelum terbenamnya matahari pada akhir Ramadan (sebelum masuk malam 1 Syawal) maka tidak diwajibkan zakat fitrah.

Jadi, walaupun perkara nampak mudah, janganlah sesekali anda ambil ringan kerana ia merupakan tanggungjawab kita sebagai waris sekiranya ada kematian saudara terdekat.

Comments

Popular posts from this blog

Musim panas rezeki berganda buat kaki pancing

‘Anak mak’ jatuh air mata saat jejak Universiti Oxford, dulu mohon tak dapat - “Saya dahulukan kebajikan mak ayah”

Tak ramai wanita Melayu, jadi pengajar selam skuba