Berhenti kerja demi tumpu jaga anak autisme

KUALA LUMPUR: Melepaskan kerjaya yang diidamkan sejak sekian lama untuk menjaga anak kurang upaya, bukanlah satu pengorbanan tetapi dianggap demi tanggungjawab besar perlu dilangsaikan sebagai ibu. 

Bekas pensyarah kejuruteraan awam, Nurul Ain Osman, 45, berkata dia berhenti kerja pada 2010 selepas anak tunggalnya, Muhammad Eshan Ghazi Norhamidi, yang kini berusia 14 tahun, dikesan menghidap autism.

Nurul Ain bersama suami sentiasa memberi sokongan dan tumpuan memastikan perkembangan Muhammad Eshan dalam keadaan baik.


Pada mulanya dia tidak perasaan sebarang perubahan pada anaknya, sebaliknya disedari oleh ibunya.

"Ketika berumur satu tahun, ibu memberitahu tindak balas anak saya agak lambat berbanding usianya ketika itu selain tidak pernah merangkak langsung tetapi terus duduk dan berdiri.


"Kemudian saya mencari maklumat di internet untuk mengetahui simptom autism," katanya.

Nurul Ain dari Cheras berkata, ketika anak berusia dua tahun, dia membawanya ke sebuah pusat perubatan dan doktor memaklumkan perkembangan anaknya mungkin lambat berbanding kanak-kanak seusianya.

Doktor kemudian meminta dia datang semula membuat pemeriksaan ketika berusia lima tahun tetapi dalam tempoh berkenaan, anaknya perlu menjalani kelas terapi setiap minggu.

"Ketika itu, saya sedih memikirkan keadaan anak yang tidak seperti anak orang lain selain dia suka menangis dan mengamuk teruk.

"Keadaan itu juga menyebabkan saya kurang rehat, masa tidur sering terganggu dan berat badan turun mendadak," katanya..

Memikirkan keadaan itu, dia tidak menghantar anaknya dijaga orang lain.

Keputusan tepat berhenti kerja, jaga anak

Kerana masih sayangkan kerjaya sebagai pensyarah ketika itu, dia tidak berhenti terus tetapi mengambil keputusan bekerja separuh masa apabila diperlukan memandangkan suami pula, Norhamidi Asari bekerja 'offshore'.

"Bagaimanapun, hati saya tidak tenang kerana sering memikirkan keadaan anak membuatkan saya nekad berhenti kerja terus untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada Muhammad Eshan," katanya.

Dia tidak menyesal dengan keputusan itu, malah semakin gembira kerana dapat melihat perkembangan anak di hadapan mata sendiri setiap masa walaupun tahu ia tidak sama seperti anak orang lain.

Lebih bermakna, ketika anaknya berusia empat tahun, walaupun tidak tahu bercakap, tetapi dengan menggunakan permainan huruf, anaknya mampu mengeja perkataan dengan sendiri walaupun tidak pernah diajar sebelum itu.

"Sejak itu apa sahaja yang dia mahukan, akan mengeja sahaja seperti mahu makan atau minum.

"Ketika berusia lima tahun, anak sudah boleh mula makan sendiri, selain semakin bijak dengan nombor apabila tahu mengira," katanya.

Ketika anaknya berusia tujuh tahun dia menghantar anaknya ke sekolah khas untuk memastikan perkembangan mindanya baik.

Nurul Ain bangga dengan Muhammad Eshan yang lebih berdikari dan ceria.

Namun, dia kurang selesa dengan keadaan sekolah mempunyai 40 murid dalam satu kelas kerana bimbang anaknya sukar mendapat perhatian.

"Saya kemudian menghantar ke sekolah khas di Petaling Jaya. Walaupun agak jauh dari rumah tetapi saya nekad menghantarnya ke situ," katanya.

Tiga bulan pertama, Muhammad Eshan menangis tanpa henti mungkin kerana tidak biasa berjauhan dengannya.

Pada Julai tahun sama, anaknya sudah boleh mula bercakap beberapa patah perkataan serta dilihat semakin ceria apabila mempunyai kawan-kawan lain.

"Sebagai ibu, saya sangat berbangga dengan perkembangannya malah, dalam tempoh tujuh tahun belajar di situ, banyak yang dia sudah belajar seperti memakai baju sendiri.

"Anak juga sudah boleh makan pelbagai jenis makanan berbanding hanya makan roti dan sudah boleh masak makanan yang mudah hasil pembelajaran di sekolah berkenaan," katanya.

Jadi, Nurul Aini mahu menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai ibu.

Sejak tujuh tahun lalu, dia menghantar sendiri anak ke sekolah seawal jam 8 pagi dan menunggu anaknya pulang pada jam 2 petang.

"Saya akan menunggu Muhammad Eshan di sekitar kawasan sekolah kerana tidak berbaloi untuk pulang ke rumah dan datang semula selepas itu.

"Ini saya dilakukan sejak tujuh tahun lalu dan melihatkan perkembangannya ketika ini, saya anggap ia sangat berbaloi," katanya.


Comments

Popular posts from this blog

Musim panas rezeki berganda buat kaki pancing

‘Anak mak’ jatuh air mata saat jejak Universiti Oxford, dulu mohon tak dapat - “Saya dahulukan kebajikan mak ayah”

Tak ramai wanita Melayu, jadi pengajar selam skuba