Buah gajus, sayur dan buah-buahan hadiah istimewa murid kepada guru

       KUALA TERENGGANU: Buah gajus atau jambu golok, sayur-sayuran dan buah-buahan           antara hadiah teristimewa murid kepada guru sempena sambutan hari guru ke-52, di               Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1, hari ini.

Beberapa guru teruja dan terkejut apabila murid menghadiahkan bakul mengandungi buah gajus, sayur-sayuran serta buah-buahan ketika berada di bilik guru hari ini.

Murid tahun lima, Muhammad Harith Mohammad Erman, berkata dia memetik buah gajus ditanam keluarga di halaman rumahnya untuk dihadiahkan kepada guru bahasa Inggeris, Dr Estee Quek Soh Theng.

Katanya, dia dan rakannya, Muhammad Rafiq Qaiser Abdul Roafar, mengambil masa lebih setengah jam memetik buah gajus untuk dihadiahkan kepada Soh Theng.

"Walaupun tubuh gatal digigit kerengga, kami berpuas hati dapat menghadiahkan buah gajus kepada Soh Theng sempena sambutan Hari Guru, hari ini.

"Kami juga berkongsi duit sebanyak RM2.50 seorang untuk membeli bekas bagi meletakkan buah gajus," katanya sambil mengesahkan bunga yang ditanam keluarga dijadikan sebagai hiasan.

Guru yang turut mengajar mata pelajar bahasa Inggeris, Ain Dalilia Mohd Tajuddin terkejut apabila muridnya, Nur Awfiyah Azmi, 10, menghadiahkan bakul mengandungi pelbagai jenis sayur-sayuran ketika berada dalam bilik guru di sekolah itu hari ini.

Katanya, dia terharu apabila Nur Awfiyah secara tiba-tiba menghulurkan bakul mengandungi pelbagai jenis sayur-sayuran termasuk salad, timun, kubis dan lada besar sambil mengucapkan selamat hari guru.

"Kita terharu apabila Nur Awfiyah yang juga murid tahun empat menggunakan kreatifnya menyusun pelbagai jenis sayur-sayuran dalam bakul dan dihadiahkan kepadanya," katanya.

Murid tahun empat, Nur Irdina Zarahana Zulkifli, berkata hadiah buah mempelam yang dipetik di belakang rumahnya adalah hadiah sebagai ingatan dan penghargaan terima kasih kepada gurunya, Nurul Fathiah Mohd Nor.

"Ibunya mengajak kita ke pasar raya memilih hadiah sesuai untuk dihadiahkan kepada guru sempena sebutan hari guru, semalam.

"Tetapi saya dan beberapa rakan berpakat untuk membuat kelainan dengan menghadiahkan sayur, buah-buahan kepada guru sempena sambutan hari guru hari ini," katanya.

Penolong Kanan Kokurikulum, Zamrai Jusoh yang turut menerima hadiah buah-buahan, berkata hadiah paling bermakna buat semua guru adalah murid mendapat keputusan cemerlang pada setiap peperiksaan.

Katanya, semua guru tidak mengharapkan hadiah, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk memberi pendidikan kepada murid.

"Hadiah paling berharga buat warga pendidik adalah kecemerlangan murid," katanya.

Sementara itu, guru besar SK Sultan Sulaiman 1, Rosli Abdul Razak, berkata dia terkejut apabila melihat beberapa murid membawa bakul mengandungi buah-buahan dan sayur-sayuran ketika masuk ke kawasan sekolah hari ini.

"Murid berkenaan tidak memaklumkan membawa hadiah untuk diberikan kepada guru, sebaliknya meminta kebenaran berjumpa dengan guru hari ini," katanya ketika turut menyaksikan gelagat beberapa murid menyampaikan hadiah.

Sempena Sambutan Hari Guru, turut diadakan adalah majlis rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri dianjurkan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG).

Turut hadir memeriahkan majlis itu adalah Yang Dipertua PIBG, Mohd Nazri Datuk Nainy.

Rosli (kanan), Mohd Nazri (dua kanan) ketika menyaksikan dua murid, Muhammad Harith (dua kiri) dan Muhammad Rafiq (kiri) menghadiahkan buah gajus kepada Soh Theng sempena Sambutan Hari Guru di SK Sultan Sulaiman 1, hari ini. NSTP/Baharom Bakar


Comments

Popular posts from this blog

Musim panas rezeki berganda buat kaki pancing

‘Anak mak’ jatuh air mata saat jejak Universiti Oxford, dulu mohon tak dapat - “Saya dahulukan kebajikan mak ayah”

Tak ramai wanita Melayu, jadi pengajar selam skuba