Joki wanita termuda 33 kali jatuh kuda, dipijak ketika latihan

 

Isabelle bersama salah seekor kuda miliknya, ILS Polo Racing Equestrian Tambalang, RSTC Tuaran. - NSTP/ Recquel Raimi

    TUARAN: Anak jati kelahiran Sabah, Isabelle Lonjuing Sayeed, sekali lagi mengharumkan         nama negara apabila mencipta rekod sebagai joki wanita pertama dan termuda dalam             sukan lumba kuda di Malaysia.

Sebelum ini, remaja kelahiran Penampang, Sabah itu mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai kapten polo termuda di Asia Tenggara pada 2021 menerusi catatan rekod Academy Polo Kuala Lumpur.

Malahan, Isabelle yang kini berusia 16 tahun pernah menerima lesen pelatih profesional dan Stable Agent pada 2020 daripada Royal Sabah Turf Club (RSTC), sekali gus menjadi pelatih serta penunggang kuda termuda di dunia ketika itu.


Isabella (tengah) menerima piala selepas menang dalam perlumbaan kuda di Royal Sabah Turf Club (RSTC), Tuaran.

Demi minat mendalam dan mahu mengetengahkan sukan lumba kuda di tanah kelahiran, Isabelle terus mempergiat usahanya untuk menguasai 100 peratus bidang terbabit bergelar joki wanita.

"Selain menjadi kapten pasukan polo wanita di Sabah, iaitu El Viento Polo ketika ini, baru-baru ini saya menerima lesen joki daripada RSTC selepas menyertai beberapa sesi latihan sekali gus menjadi joki wanita pertama dan termuda di negara," katanya.

Menurut Isabelle, beliau yang menjalani latihan di bawah kendali jurulatih joki sukan lumba kuda RSTC, Mohammad Sairee itu turut menerima sokongan dan bimbingan penuh daripada Presiden RSTC, Datuk Peter Chin Tet Fong.


Antara 20 ekor kuda yang digunakan untuk kelas menunggang kuda dikendalikan Isabelle. - NSTP/Recquel Raimi

Berkat jurulatihnya, Susan Peggy Doughlas yang melatih Isabelle sejak usia lima tahun di Glenora Stable Beringgis, Papar, Isabelle menggunakan ilmu dan pengalamannya dalam semua aspek pengurusan termasuk perlumbaan kuda di ILS Stable Horse yang kini dikendalikannya di RSTC, Kampung Tambalang, Tuaran.

"Di sini, saya mengadakan kelas menunggang kuda setiap hari bergantung jadual yang ditetapkan antara pelatih di RSTC untuk melatih dan memperkenalkan sukan lumba kuda kepada peminat kuda."

"Saya mempunyai 20 ekor kuda yang digunakan untuk kelas menunggang kuda termasuk sebahagiannya digunakan untuk acara perlumbaan pada hujung minggu.

"Menerusi kelas ini, saya akan berkongsi ilmu kepada pelatih baru atau pelajar mengenai teknik menunggang kuda, penjagaan dan rawatan kuda, jadual pemakanan, latihan kecergasan, peraturan, keselamatan menunggang dan sebagainya".

"Tidak mudah menjadi seorang pelatih, penunggang perlu mahir dalam semua aspek ini dan barulah mudah menjinakkan kuda dan bersedia menghadapi segala cabaran memandangkan ia sukan lasak serta berisiko untuk cedera," katanya.

Pernah cedera di pijak kuda

Menceritakan pengalamannya sepanjang berlatih, antaranya, Isabella pernah mengalami kecederaan pada tubuhnya akibat dipijak kuda selepas terjatuh ketika mengadakan sesi latihan menunggang kuda.

"Penat lelah mengurus kuda itu sudah menjadi perkara biasa. Pelatih perlu lebih berhati-hati dan bersedia mengalami risiko cedera sekiranya berlaku kemalangan".

"Sejak usia 15 tahun sehingga hari ini, saya sudah jatuh sebanyak 33 kali ketika berlatih menunggang lebih aktif di bawah bimbingan jurulatih Susan Peggy Doughlas, ujarnya.


Isabelle guna masa terluang memberi makan dan memeriksa kesihatan kudanya. 

Antara pengalaman menyedihkan dikongsinya, terdapat kuda yang sukar dirawat dan mati akibat penyakit, Isabelle akan menanam haiwan.

Selain itu, Isabelle turut menyediakan khidmat merawat, membiak dan menjual kuda di bawah ILS Stable Horse, RSTC Tuaran.

Isabelle yang gemar mengambil gambar alam dan memasak sebagai hobi, pernah diberi penghargaan daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk membimbing penuntut dalam kelas sains equine membabitkan reproduksi, fisiologi dan perilaku haiwan kuda.

Selain kuda, Isabelle yang bersekolah di Sayfol Internatonal School juga memelihara anjing, kucing dan ikan di kediamannya di Penampang.


Aksi anak jati kelahiran Sabah, Isabelle Lonjuing Sayeed.

Comments

Popular posts from this blog

Musim panas rezeki berganda buat kaki pancing

‘Anak mak’ jatuh air mata saat jejak Universiti Oxford, dulu mohon tak dapat - “Saya dahulukan kebajikan mak ayah”

Tak ramai wanita Melayu, jadi pengajar selam skuba