Program BFBL bantu bina kerjaya pendandan rambut

KUALA LUMPUR: Kehilangan pekerjaan satu 'mimpi ngeri' buat setiap individu, apatah lagi pada saat dunia dilanda krisis kesihatan global ekoran penularan wabak COVID-19, sebelum ini yang menyebabkan 140,608 orang hilang pekerjaan di negara ini.

Tidak terkecuali, Siti Fatihah Hashim, 30, antara insan yang berdepan situasi getir itu apabila perancangannya bekerja dalam bidang perhotelan terpaksa ditangguhkan.

Tambah menyedihkan,  bukan saja diberhentikan kerja, namun wang simpanan yang dikumpul sepanjang bekerja habis digunakan bagi menampung kehidupan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Enggan membiarkan diri terus dihimpit kesusahan, Siti Fatihah mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman di Benta, Pahang dan menjaga orang tua dan melakukan kerja-kerja kampung demi kelangsungan hidup.

Menganggap tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai hikmah di sebalik nasib malang menimpanya itu, Siti Fatihah bangkit semula selepas menyertai program Beauty for Better Life (BFBL).

BFBL program latihan vokasional anjuran yang diasaskan oleh L'Oréal Fondation, bertujuan membantu wanita yang tidak mendapat sokongan untuk bangkit membina kerjaya dalam bidang dandanan rambut dan kecantikan daripada pakar industri.

Program itu menerajui impian buat wanita untuk memiliki pengetahuan dan kemahiran asas sehingga ke profesional bagi menaikkan kehidupan mereka.

Berkongsi pengalaman, Siti Fatihah berkata beliau menjalani latihan amali tiga bulan di sebuah salun sebelum menjadi orang pertama dalam program itu yang diserap masuk untuk bekerja tetap.

Sebagai seorang yang tidak mempunyai pengalaman atau pengetahuan mengenai dandanan rambut, beliau terpaksa bermula daripada bawah.

"Daripada tak tahu apa-apa pasal rambut, saya sertai program ini dan tak sampai tiga bulan, sudah banyak benda saya boleh buat.

"Walaupun program ini pendek, ia sangat padat dengan ilmu dan latihan, jadi dalam masa tiga bulan, hampir semua peserta sudah boleh potong rambut. Saya antara yang pertama diserap masuk ke salun di mana saya memulakan praktikal," katanya.

Yuna (dua dari kiri) bersama peserta lain ketika mengikuti program Beauty For Life, sentiasa optimis dapat membuka salun satu hari nanti.


Anak kelapan daripada sembilan beradik, berkata beliau menjadikan pekerjaan itu sebagai amanah dan mahu mengubah kehidupan sedia ada menjadi lebih baik.

Kerjaya sebagai pendandan rambut mampu menjadikan individu itu berkerjaya pada peringkat antarabangsa terutama dalam seni kreatif mendandan rambut.

"Walaupun tidak pernah terfikir akan menjadi 'pendandan rambut, namun COVID-19 ini membuka mata dan refleksi diri untuk memahami di mana ada kemahuan, pasti ada jalan," katanya.

Beliau juga berani mencuba dan sentiasa belajar teknik guntingan serta penggayaan terkini.

Kemahiran dan kepakaran yang dimiliki perlu seiring untuk memberikan hasil perkhidmatan dandanan rambut terbaik serta memuaskan kehendak dan cita rasa pelanggan.

"Kini saya bercita-cita memiliki salun dan akademi dandanan rambut sendiri, bagi membantu lebih ramai wanita di luar sana mengembangkan bakat ini.

"Saya sendiri pernah merebut dan diberikan peluang. Oleh itu, sekiranya ada peluang dan kesempatan di masa hadapan, saya ingin mengubah nasib lebih ramai wanita dengan menggalakkan mereka untuk menceburi bidang ini," katanya.

Siti Fatihah, berkata kerjaya dandanan rambut mempunyai kepakaran yang tersendiri dengan skop kerja dandanan dan tangga gaji yang berbeza mengikut kemahiran masing-masing.

"Disebabkan permintaan tinggi dalam kemahiran serta keusahawanan bidang dandanan rambut, tenaga pengajar bidang ini juga amat diperlukan bagi membantu melahirkan lebih ramai pendandan rambut," katanya.


Comments

Popular posts from this blog

Musim panas rezeki berganda buat kaki pancing

‘Anak mak’ jatuh air mata saat jejak Universiti Oxford, dulu mohon tak dapat - “Saya dahulukan kebajikan mak ayah”

Tak ramai wanita Melayu, jadi pengajar selam skuba