Rasai pengalaman berada di bilik bersalin

 

        KUALA LUMPUR: Muzium Negara menyasarkan seramai 30,000 pelawat bakal                       mengunjungi Pameran Bidan sepanjang tempoh tiga bulan yang sedang berlangsung di           Galeri 1 di muzium itu bermula 1 Mei lalu sehingga 31 Julai depan.

Pengarah Muzium Negara, Zamrul Amri Zakaria berkata Pameran Bidan ini diadakan sempena meraikan Hari Bidan Sedunia yang jatuh pada tanggal 5 Mei, selain Hari Jururawat Sedunia, pada 12 Mei lalu.

Katanya, bidan dan jururawat mempunyai signifikan, selain banyak menyumbang kepada komuniti.

Pameran ini dilaksanakan susulan daripada kejayaan program pameran sebelumnya bertemakan Pameran Evolusi Baju Seragam Jururawat 2022 yang mendapat sambutan sangat baik dengan lebih 25,000 pelawat hadir.

Katanya, objektif Pameran Bidan untuk mengetengahkan kembali fungsi bidan suatu masa dahulu, selain menghargai peranan bidan tradisional atau bidan kampung dan bidan moden dalam institusi kesihatan.

"Pengunjung dapat lihat sendiri bagaimana pelbagai kaum dan etnik tradisional negara ini mengiktiraf bidan sebagai individu yang berpengaruh dalam kehidupan mereka.

"Antara yang adalah menarik pengunjung dapat merasai sendiri pengalaman berada di dalam bilik persalinan.

"Kebiasaannya, tidak semua orang boleh masuk ke ruang bilik persalinan. Hanya suami, isteri dan petugas kesihatan.

"Jadi, orang ramai boleh datang di sini bagi melihat dan merasai sendiri pengalaman berada dalam bilik persalinan," katanya," katanya ditemui baru-baru ini.

Ketahui perbidanan tradisi dan moden

Pada masa sama, orang ramai boleh menyaksikan bagaimana jalinan harmoni antara ilmu perbidanan tradisi dengan moden.

"Pameran turut mengetengahkan bidan dalam sosiobudaya masyarakat tradisi dan ilmu perbidanan tradisional pelbagai kaum seperti bidan dalam masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kita dapat lihat penyatuan dan keunikan masyarakat pelbagai kaum di negara dalam pameran ini" katanya.

Selain itu, beberapa koleksi peralatan menarik berkaitan bidan turut dipamerkan antaranya mangkuk mandi bayi etnik Dayak, pendukung bayi etnik Orang Ulu Kenyah, kerusi bersalin masyarakat Cina, sengkalan, lupong manang atau bekas simpanan ubat etnik Iban dan pelbagai lagi koleksi berkaitan.


Pameran ini juga diisi dengan diorama adat bersalin Orang Asli, adat melenggang perut, bersalai dan upacara Valaikappu serta sambutan Man Yue bagi masyarakat India dan Cina.

Justeru, banyak maklumat menarik dan sangat berguna untuk memahami dan mempelajari adat, budaya serta tradisi ilmu perbidanan pelbagai kaum di Malaysia serta dapat dijadikan penghubung antara ilmu perbidanan tradisional dengan ilmu perbidanan moden.

Meskipun cara dan pendekatannya berbeza, kedua-dua ilmu tradisi dan moden ini bertujuan bagi memberi keselesaan, kesejahteraan dan keselamatan kepada ibu mengandung dan bayi.


Comments

Popular posts from this blog

Musim panas rezeki berganda buat kaki pancing

‘Anak mak’ jatuh air mata saat jejak Universiti Oxford, dulu mohon tak dapat - “Saya dahulukan kebajikan mak ayah”

Tak ramai wanita Melayu, jadi pengajar selam skuba