Belum bersara sudah dapat hasil RM10,000 sebulan

 

Noor Ahmad (kiri) menerima Sijil Latihan Peralihan Perhebat pada Rabu. (Kanan: Noor Ahmad turut menceburi bidang perladangan kelapa sawit.)

KOTA BHARU - Seorang anggota tentera meraih pendapatan lumayan sekitar RM10,000 sebulan selepas menceburi bidang penternakan ikan, hartanah dan perladangan kelapa sawit sebagai persediaan berdepan persaraan tidak lama lagi.

Sarjan Noor Ahmad Hasan, 47, berkata, langkah berani beralih bidang-bidang baharu buatnya itu dilakukan bagi memastikan kelangsungan ekonomi keluarga apabila tamat tempoh perkhidmatannya bermula Oktober ini.

Menurut bapa tiga anak itu, persediaan ilmu pengetahuan dan kemahiran secara teori sudah dibuat lebih awal iaitu dalam tempoh lima tahun sebelum tarikh bersara ketika masih dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Saya mengambil peluang mengikuti pelbagai kursus pada waktu cuti dan mula membina beberapa lot rumah pada 2015 seterusnya menaman pokok sawit pada 2018.

“Saya berusaha mengembangkan lagi perusahaan untuk jangka masa panjang dengan menternak ikan keli dan patin bermula Mac lalu, semasa dalam Latihan Peralihan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat),” katanya selepas Majlis Penyampaian Sijil Latihan Peralihan Perhebat bagi Kelantan dan Terengganu di Tunjong di sini pada Rabu.


Noor Ahmad

Ujar Noor Ahmad yang bertugas di Besut, Terengganu, amat penting untuk golongan bakal pesara tentera sepertinya merancang masa depan supaya tidak terbeban selepas persaraan apabila terpaksa bergantung kepada duit pencen sahaja.

Katanya, ATM menyediakan kemudahan pinjaman peribadi melalui koperasi selain bakal pesara boleh juga membuat pinjaman daripada bank untuk memulakan perniagaan.


 Ikan keli yang diternak oleh Noor Ahmad sebagai persediaan persaraannya.

“Setakat ini, saya menternak 10,000 ekor ikan keli, 3,000 ekor ikan patin, 5,000 ekor ikan tilapia untuk dijual kepada peruncit dan pemborong sekitar Terengganu serta Kelantan.

 “Saya mengikuti kursus di Pusat Perikanan Machang dan ketika ini berada di bawah bimbingan Pejabat Perikanan Daerah Besut,” tambahnya yang sudah berkhidmat dalam ATM selama 21 tahun.


Comments

Popular posts from this blog

Musim panas rezeki berganda buat kaki pancing

‘Anak mak’ jatuh air mata saat jejak Universiti Oxford, dulu mohon tak dapat - “Saya dahulukan kebajikan mak ayah”

Tak ramai wanita Melayu, jadi pengajar selam skuba