Kasih bapa demi anak syurga

 

Wira sering membawa Nur Wadihan menyertai acara berbasikal.

    'Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa'. Itulah menggambarkan             eratnya hubungan anak dengan orang tuanya.

Ingin mengabadikan sebanyak mungkin detik indah bersama anak istimewa, membuatkan seorang bapa mengenepikan penat-lelah dalam apa juga keadaan termasuk membawa anak berekreasi dengan berbasikal ke merata tempat.

Ini kerana, Wira Sudepja Rabu, 48, mendapati anaknya Nur Wadihan, 15, yang menghidap Cerebral palsy sejak dilahirkan menggemari aktiviti itu sejak diperkenalkan pada usia enam tahun.

Tahun lalu, Wira sudah membawa anak kedua daripada dua beradik itu berbasikal di tujuh bukit yang mempunyai trek laluan berbasikal.

Wira mahu mengabadikan detik indah Nur Wadihan yang menghidap Celebral palsy sejak lahir dengan menumpukan sepenuh perhatian beri kehidupan sempurna


Tujuh bukit itu ialah Bukit Fraser, Pahang; Bukit Miku, Negeri Sembilan; Bukit Sungai Como, Terengganu; Wang Kelian, Perlis; Gunung Jerai, Kedah serta Bukit Jugra dan Bukit Antarabangsa di Selangor.

Pengurus logistik di sebuah kilang itu mengakui, menjaga anak orang kurang upaya (OKU) yang terlantar bukan sesuatu perkara mudah kerana selain rumit, ia memerlukan penjagaan rapi.

Setiap kali ada masa terutama pada hujung minggu, dia akan memberi sepenuh tumpuan kepada Nur Wadihan termasuk memberi makan dan memandikannya.

Pada hari dia bekerja, isteri, Nur Murni Dona Mohd Nordin, 49, menjaga anak mereka, selain dibantu anak sulung, Nur Wirdani, 21.

Sejak 14 tahun lalu, isterinya sanggup berhenti kerja sebagai eksekutif pentadbiran bagi menjaga sepenuhnya anak mereka.

"Tiga tahun pertama menjaga Nur Wadihan kami berdua berdepan saat yang sukar kerana perlu menguruskan anak istimewa.

"Kami tidak keluar rumah kerana bimbang anak yang mempunyai imuniti rendah, diserang sebarang penyakit.

"Ketika itu juga kerana mengamalkan cara hidup kurang sihat sebab langsung tidak keluar rumah, saya mengalami gangguan kebimbangan manakala isteri mengalami tekanan darah tinggi," luahnya.


Ketepikan penat-lelah bawa anak berekreasi dengan basikal ke merata tempat

Lantas Wira dan isteri membuat carian mengenai anak jika perlu berada di luar rumah.

"Selepas berpuas hati dengan persediaan rapi, iaitu memberikan makanan tambahan untuk meningkatkan imunisasi anak, menyediakan peralatan seperti kipas bagi mengelak kepanasan, kami berjaya membawa Nur Wadihan, beriadah kali pertama ketika usianya enam tahun.

"Kami membawa Nur Wadihan dengan kerusi roda ke tasik dan taman-taman di sekitar Putrajaya untuk berekreasi dan keadaannya amat baik ketika itu.

"Apa yang menggembirakan kami, apabila Nur Wadihan melihat orang menaiki basikal, dia akan ketawa.

"Ini menunjukkan dia sangat sukakan basikal sehingga membuatkan kami menempah treler khas dari luar negara yang sesuai dengan keadaannya supaya mudah kami tolak atau membawa menggunakan basikal," katanya.

Lebih 200 acara larian, berbasikal disertai

Wira berkata, selepas beberapa kali keluar berekreasi dia dapat melihat keadaan anaknya lebih ceria dan emosi lebih baik berbanding sebelum itu.

Bermula detik itu, Wira menyertai acara yang membenarkan dia membawa anaknya bersama.

"Acara pertama disertai kami adalah Kuala Lumpur (KL) Bebas Kenderaan. Sejak itu sudah lebih 200 acara larian dan berbasikal kami sertai," katanya.

Pada 2018, bertujuan untuk kesedaran, Wira mewujudkan komuniti larian dan berbasikal bagi mengembangkan aktiviti terutama kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU.

Pada 2020 adalah kali pertama Wira membawa Nur Wadihan menaiki Bukit Fraser secara berbasikal dan kebetulan ketika itu adalah hari ulang tahun kelahirannya.


Menempah kerusi roda khas memudahkan membawa anak syurga bersiar-siar.

Selepas melihat anaknya tiada masalah menaiki bukit dengan cara itu, dia kemudian membuat keputusan menjadikannya sebagai aktiviti tahunan terutama setiap kali hari lahir Nur Wadihan.

"Sepanjang tahun lalu, tanpa dijangka kami berjaya menaiki sehingga tujuh bukit dan sempena hari lahir Nur Wadihan, pada 18 September ini kami bercadang ke Bukit Sumpitan di Perak pula," katanya.

Terima anugerah Malaysia Book of Records

Selain itu, katanya, semalam (17 Jun), mereka menyertai Acara Duathlon kategori kanak-kanak untuk berjalan dan berbasikal.

Kali pertama menyertai acara itu pada 2018 membolehkan mereka menerima anugerah Malaysia Book of Records sebagai Gadis Cerebral palsy Pertama mengambil bahagian dalam Acara Duathlon.

"Semua acara memerlukan ketahanan mental dan fizikal. Memang memenatkan untuk kami berdua termasuk isteri yang sentiasa menjadi pengiring bagi memastikan keadaan anak sentiasa baik.

"Namun, kami gembira dan berlapang dada dapat melakukannya bersama tambahan apabila melihat Nur Wadihan sentiasa ceria, selain dapat memberi kesedaran orang ramai melalui aktiviti dilakukan dengan berkongsi perjalanan aktiviti di media sosial.

"Kami juga dapat meluangkan lebih banyak masa bersama sekali gus mencipta lebih banyak kenangan terindah bersamanya selagi termampu," katanya tidak pernah malu memiliki anak syurga.

Comments

Popular posts from this blog

Musim panas rezeki berganda buat kaki pancing

‘Anak mak’ jatuh air mata saat jejak Universiti Oxford, dulu mohon tak dapat - “Saya dahulukan kebajikan mak ayah”

Tak ramai wanita Melayu, jadi pengajar selam skuba