Lohong hitam raksasa semarakkan nama saintis astronomi Malaysia

 

Nur Adlyka Ainul bersama penyelianya yang juga Ketua Astronomi Universiti Durnam, Prof David Alexander. 

    KUALA LUMPUR: Pernah ditegah ibu bapanya supaya menghentikan pengajian dalam             bidang astronomi kerana bimbang tiada pekerjaan pada masa depan, namun keterujaan         terhadap keunikan dunia planet dan alam membuatkan wanita ini bertekad terus belajar         hingga tamat.

Ternyata, kebimbangan ibu bapanya tidak benar, apabila Prof Madya Dr Nur Adlyka Ainul Annuar, 33, sudah mengharumkan Malaysia di persada dunia pada 2017 sebagai ahli astrofizik seperti diidamkan.

Beliau yang kini bertugas sebagai pensyarah kanan di Jabatan Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menempa nama di peringkat antarabangsa.

Namanya menjadi bualan ramai apabila berjaya menemui Supermassive Black Holes (lohong hitam supermasif atau raksasa) di galaksi NGC 1448 ketika membuat kajian berkaitannya semasa menuntut ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang astrofizik di Pusat Astronomi Ekstragalaktik, Jabatan Fizik, Universiti Durham, United Kingdom, sebelum ini.

Malah, beliau satu-satunya ahli astronomi wanita mengkaji lohong hitam.

Sebelum ini, jarang dengar kerjaya ini disebabkan kurang publisiti berkaitan terutama pada peringkat universiti, hingga adakah ia berbaloi untuk masa depan atau sebaliknya.

"Kurang kepakaran dijadikan rujukan dan fasiliti antara punca bidang ini tidak popular dipilih sebagai kerjaya.

"Sebenarnya peluang kerjaya luas, terutama di luar negara ramai pakar dilahirkan," katanya anak jati Muar, Johor ini.

Nur Adlyka Ainul berkata, bidang astronomi tidak popular dan kurang sokongan disebabkan hasilnya tidak boleh dilihat secara terus, khususnya kajian mengenai lohong hitam.

Nur Adlyka Ainul (tengah) ketika menerima Geran Anugerah Merdeka 2023 bagi meneruskan lanjutan penyelidikannya di Universiti Durham, United Kingdom dan Institut Teknologi California, AS.

"Di Malaysia, hanya ada 21 ahli astronomi dan tiga sahaja memfokuskan kepada kajian lohong hitam berbanding di luar negara seperti Amerika Syarikat (AS), satu universiti mempunyai beratus-ratus pakar.

"Kita tidak ramai pakar boleh berbincang dan meminta pendapat mengenai hasil ditemui ,sekali gus sukar untuk mendapatkan dana untuk kajian lanjut.

"Kekurangan kemudahan fasiliti astronomi antara punca kajian lohong hitam sukar diteruskan. Jika ada hanya sedikit untuk kajian mengenai planet, astroid dan matahari.

"Saya mendapatkan data daripada teleskop angkasa lepas di luar negara kerana datanya dikongsi secara umum.

"Saya juga boleh mohon data terbaharu dari Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) atau Agensi Angkasa Eropah (ESA) yang menggunakan teleskop dikenali Chandra dan NuSTAR jika mahu dapatkan maklumat baharu," katanya sudah menemui hampir 20 lohong hitam sepanjang penyelidikannya.

Pakar astronomi sinar X 

Kini, beliau meneruskan kajian lohong hitam lain, iaitu ideanya masih sama mencari lohong hitam tersembunyi.

Kepakarannya dalam bidang astronomi sinar X, iaitu mengkaji objek alam semesta yang mengeluarkan sinar radiasi tinggi dan selalunya mengeluarkan sinar tinggi, iaitu lohong hitam.

"Tetapi matahari dan bintang juga mengeluarkan radiasi sinar X. Pada 2020, saya menemui lohong hitam lain, tetapi tidak sehebat lohong hitam supermasif yang berjaya ditemui pada 2017 mengeluarkan radiasi tenaga tinggi sinar X yang luar biasa.

"Semua lohong hitam ditemui saya akan kaji mengenai cirinya, apa terjadi dalam lohong hitam, sifat, impak kepada galaksi diduduki.

"Saya mengkaji dan memahami lohong hitam ditemui, ia boleh bantu kita faham mengenai lohong hitam kita sendiri sama ada boleh beri impak kepada galaksi kita.

"Impaknya bukan berbahaya kepada kehidupan kerana atmosfera akan menyerap dan menapis sinar X dan tidak boleh sampai ke bumi, sebaliknya ramalan impak itu lebih kepada pembentukan bintang dalam galaksi makin tinggi atau tidak boleh mempengaruhi jumlah planet dan kehidupan lain.

Nur Adlyka Ainul pernah ditegah ibu bapa untuk berhenti belajar dalam bidang astronomi.


"Ia agak kompleks apabila kita mengkaji alam semesta, tetapi percayalah ia sangat menarik," katanya turut menerima Geran Anugerah Merdeka 2023 bagi meneruskan lanjutan penyelidikannya di Universiti Durham, United Kingdom selama dua bulan dan Institut Teknologi California, AS (sebulan).

Hasil kajian terbaharunya itu akan diterbitkan dalam sebuah jurnal saintifik antarabangsa.

Walaupun hasil penyelidikan itu tidak secara terus, tetapi banyak membantu dari segi pembangunan teknologi contohnya pembuatan kamera digital, kamera telefon bimbit, mesin imbas lain-lain.

"Bagi saya kerjaya ini amat menarik dan menyokong wanita terutama bidang astronomi yang penuh keterujaan dan misterinya," katanya.


Comments

Popular posts from this blog

Musim panas rezeki berganda buat kaki pancing

‘Anak mak’ jatuh air mata saat jejak Universiti Oxford, dulu mohon tak dapat - “Saya dahulukan kebajikan mak ayah”

Tak ramai wanita Melayu, jadi pengajar selam skuba