Puluhan tahun menabung, 4 sahabat teruja pertama kali tunai haji

 Amalan menabung dari kecil serta sokongan keluarga dan kawan amat memudahkan urusan Nurul Nadira Liew, Aleena Chang Abdullah, Masturina Maryam Wong Faizal, dan Nur Liyana Beck Abdullah.

(Dari kiri) Masturina Maryam Wong Faizal bersama-sama Nurul Nadira Liew, Nur Liyana Beck Abdullah, dan Aleena Chang Abdullah ditemui FMT di KLIA sebelum berlepas ke Tanah Suci.

PETALING JAYA: Menjejak kaki ke tanah suci Mekah untuk menunaikan ibadat haji menjadi impian umat Islam seluruh dunia, termasuk empat sahabat yang menabung berpuluh tahun untuk rukun Islam kelima itu.

Nurul Nadira Liew bersama-sama Aleena Chang Abdullah, Masturina Maryam Wong Faizal, dan Nur Liyana Beck Abdullah, menzahirkan rasa terharu apabila terpilih menjadi ‘tetamu Allah’ tahun ini.

“Sebelum ini tak pernah juga pergi umrah. Hati rasa berdebar sebab susah nak bayang Kaabah depan mata,” kata Nadira, yang mendaftar untuk ibadat haji pada 2012.

“Bila nama saya naik untuk pergi haji tahun ini saya rasa syukur sangat sebab tak sangka Allah undang saya,” kata wanita dari Perak ini kepada FMT, ketika ditemui di KLIA sebelum berlepas ke Arab Saudi, kelmarin.

Nadira berkata paling menyentuh perasaan apabila keluarganya yang bukan Islam memberi sokongan moral kepada usaha menabung untuk ke Tanah Suci, dan berdoa mengikut cara tersendiri agar urusannya di sana dipermudahkan.

“Mak pesan kepada saya supaya baik-baik di sana dan dia bagi restu,” katanya dalam nada sebak, dan menambah pegawai atasannya di Bukit Aman banyak memberi nasihat malah mengiringinya ke lapangan terbang.

Sementara itu, Aleena memberitahu kos menunaikan haji adalah hasil wang yang disimpan sejak bujang, tabiat yang diterapkan dalam kalangan masyarakat Cina.

“Saya menabung sejak belum kahwin lagi, tambah-tambah tabiat orang Cina suka menabung. Pada 2008 saya buka akaun Tabung Haji,” katanya.

Dari segi persiapan pula, urusan Aleena dipermudahkan lagi dengan kehadiran kawan-kawan yang banyak menolong.

“Baju, peralatan dan barang keperluan semua orang beri. Saya tak beli langsung. Siap ada yang beri wang belanja. Saya tak minta dibantu tapi bila orang tahu saya akan buat haji, mereka beri bantuan. Saya hanya beli makanan sedikit sebagai bekal,” katanya.

Masturina dan Liyana masing-masing berkata mereka bersyukur berpeluang menunaikan rukun kelima yang wajib dilaksanakan sekali seumur hidup bagi orang Islam.

“Semoga Allah menguatkan iman saya dan menerima segala amalan saya dan menghapuskan dosa-dosa lama,” katanya.

Empat sahabat ini antara 284 bakal jemaah haji yang berlepas ke Arab Saudi untuk ibadat haji semalam.


Comments

Popular posts from this blog

Musim panas rezeki berganda buat kaki pancing

‘Anak mak’ jatuh air mata saat jejak Universiti Oxford, dulu mohon tak dapat - “Saya dahulukan kebajikan mak ayah”

Tak ramai wanita Melayu, jadi pengajar selam skuba