Kecil-kecil cili padi, 'terapung' 8 bulan di lautan perkara biasa

 


KECIL-KECIL CILI PADI. Siapa sangka, wanita bertubuh kecil yang baharu berusia 34 tahun, Fatin Amirah Ghazali sudah menjadi kapten mengemudi kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) menghantar pelbagai barangan dan aset bernilai jutaan ribu ringgit ke merata dunia.

Dia juga memantau kira-kira 30 anak kapal yang berada di bawahnya, selain berdepan pelbagai risiko seperti cuaca tidak menentu, berbulan-bulan 'terapung ' di atas kapal belayar di samudera nan luas.

Anak sulung empat beradik itu bermula sebagai kadet dek pada 2007, di MISC Bhd, mengakui minat dengan dunia perkapalan sejak di zaman persekolahan, jadi tidak ada yang mustahil mampu bertahan dalam kerjaya ini.

                    Tiada masalah kemudi kapal LNG sepanjang lebih 150 meter di samudera luas terbentang.


Kemudikan kapal panjang lebih 150 meter

Dia yang dinaikkan pangkat sebagai kapten sejak Januari lalu, bertanggungjawab mengemudi Kapal LNG, saiz lebih 150 meter panjang ini, tidak gentar kerana sejak remaja juga sudah didedahkan dengan dunia pelaut.

Dia yang ketika itu menetap di Teluk Air Tawar, Pulau Pinang, sering dibawa ibu bapanya, Ghazali Jamaludin, 71, dan Siti Raha Muhammad, 57, ke pantai berhampiran Pelabuhan Pulau Pinang.

Melihatkan keadaan pelabuhan penuh dengan kapal dia semakin berminat untuk mengetahui lebih mendalam berkenaan dunia perkapalan.

Sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ibu bapanya melihat tawaran biasiswa daripada antara pemilik tunggal terbesar LNG dunia, MISC Bhd, untuk menyambung pengajian Diploma Pengajian Nautika di Akademi Laut Malaysia (ALAM) dan menyarankan dia memohon.

Menariknya, ia kali pertama syarikat itu membuka peluang mengambil pelaut wanita dan tanpa membuang masa, dia memohon dan diterima selepas berjaya melepasi dua kali temuduga serta program induksi selama dua minggu.

    Fatin Amirah jadi kapten kapal LNG sejak Januari lalu, tempuhi pelbagai pengalaman dan cabaran                 sebagai pelaut.

Jangan takut di lautan

Fatin Amirah berkata, pada tahun kedua pengajian, pelajar sudah mula diuji dengan menaiki kapal dan di situ bermula cabaran sama ada bidang itu sesuai untuk mereka atau sebaliknya.

Kerana sangat minat dalam bidang dia berjaya mengharunginya dan lebih bermakna apabila tidak mengalami mabuk laut berbanding rakannya lain.

"Selepas tamat pengajian dan mengambil Perakuan Kekompetenan (COC), saya bersyukur mendapat pekerjaan diidamkan sejak zaman sekolah.

"Saya sudah tanam azam menjadi kapten dan tidak dijangka dalam tempoh 11 tahun bekerja impian itu tercapai.

"Jangan takut berada di lautan. Bidang ini memberikan 1,001 pengalaman menarik yang tidak mampu diperoleh insan lain.

"Namun, menjadi kapten bukanlah perkara mudah kerana perlu memberi tumpuan pada navigasi, memantau setiap bahagian di kapal supaya dalam keadaan baik, memastikan keselamatan anak kapal dan berurusan dengan penyewa bagi penghantaran kargo," katanya bersyukur kerana tidak pernah tempuhi rintangan berat ketika di laut.

            Tanam azam mahu jadi kapten dan diperoleh dalam tempoh 11 tahun pembabitannya di MISC Bhd.

Ampuh emosi, 8 bulan duduk di laut

Katanya, ketika pandemik COVID-19 apabila perlu belayar, mereka tidak dibenarkan turun ke darat selama lapan bulan.

Ia berikutan peraturan ketat dibuat pelabuhan di setiap negara bagi memastikan virus berkenaan tidak menular.

"Ketika bertugas pernah mendapat berita kematian datuk dan nenek, tapi tiada apa boleh dilakukan kerana menjalankan tugas, tidak dibenarkan pulang.

"Ketika itu, emosi kurang stabil kerana perlu menahan kesedihan dan perlu pikul tugasan seperti biasa.

"Ketika dalam pengajian kami sudah diajar menjaga emosi dan perlu sentiasa menerima apa juga berita dari darat.

"Ketika itu, hanya rakan sekerja bantu dan beri kata-kata semangat untuk meneruskan kehidupan seharian," katanya menamatkan zaman bujang pada 2018.

Fatin Amirah bersyukur kerana ibu bapa dan suami, Tuan Mohamad Jazimin Tuan Rosdan, 32, yang berada dalam bidang sama dan kini bertugas sebagai jurutera kargo, sentiasa memberi sokongan.

Walaupun hanya dapat berjumpa ketika cuti kerana bekerja di kapal berlainan, dia akan memanfaatkan sepenuhnya masa bersama suaminya.

"Saya sarankan mereka yang baru tamat SPM dan mahu berada di dalam bidang ini, jangan teragak-agak lagi dan memohon segera.

"Ini kerana setiap bidang ada cabarannya tersendiri, dalam bidang perkapalan ini pun sama.

"Wanita boleh dan bukan penghalang menceburi bidang ini, saya mampu buktikan boleh berjaya sehingga ke tahap ini," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Musim panas rezeki berganda buat kaki pancing

‘Anak mak’ jatuh air mata saat jejak Universiti Oxford, dulu mohon tak dapat - “Saya dahulukan kebajikan mak ayah”

Tak ramai wanita Melayu, jadi pengajar selam skuba